Tuesday, April 27, 2010

AL IMAMUL AKBAR DR MUHAMMAD SAYYID TANTAWI

Walaupun beberapa pendapatnya sering dipandang kontroversi, namun sumbangannya terhadap dakwah, pendidikan, ilmu pengetahuan dan sebagainya tidak dapat dinafikan.
Sempat menonton di tv Mesir satu ketika beliau menyampaikan kuliah tafsir. Ungkapan dan tuturannya lembut dan jelas sekali. Sesuai didengar oleh orang yang baru sampai seperti kami ketika itu.
Allahyarham yang merupakan Sheikhul Azhar, lahir pada 28 Oktober 1928 di sebuah desa Salim as-Syarqiyyah berpusat di daerah Tama, Soohaj. Beliau telah belajar dan menghafaz al Quran di Kota Iskandariah.
Allahyarham menerima gelaran doktor dalam ilmu hadith dan tafsir pada tahun 1966 dengan pangkat cemerlang (mumtaz), kemudian beliau bekerja sebagai tenaga pengajar di kuliah Fakulti Usuluddin Universiti al-Azhar, dan seterusnya ditugaskan mengajar di negara Republik Arab Libya selama 4 tahun.
Selepas itu, beliau bekerja sebagai dekan bagi pengajian pasca-sarjana Universiti Islam di Madinah.
Kemudian Prof. Dr Mohammed Sayyid at Tantawi dipilih menjadi Mufti Kerajaan Mesir pada tanggal 28 Oktober 1986, dan menduduki menduduki jawatan tersebut sehingga beliau dilantik menjadi Sheikhul al Azhar pada tahun 1996.
Beliau merupakan salah seorang ilmuan al Azhar yang tersohor yang begitu sarat dengan pengalaman ilmu pengetahuannya, terutamanya dalam bidang tafsir.
Beliau meninggal dunia di Riyadh, Saudi ketika lawatannya menyertai Majlis Penyampaian Anugerah al-Malik Faisal Antarabangsa bagi bidang perkembangan Bahasa Arab.
Sheikhul al Azhar, al Imam al-Akbar Prof. Dr Mohammed Sayyid at-Tantawi meninggal dunia pada pagi Rabu di Arab Saudi akibat serangan jantung yang begitu kritikal, di waktu usianya menjangkau 82 tahun.
Serangan mengejut telah menimpa Sheikhul Azhar sepanjang keberadaan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa al Malik Khaled, Riyadh untuk melakukan perjalanan pulang ke Kaherah. Ketika Allahyarham dikejarkan ke hospital beliau telahpun menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Semoga Allah SWT menerima amal baiknya dan mengampunkan segala kesalahannya. Al-Fatihah

No comments:

Post a Comment