Monday, August 16, 2010

KERANA TAKUT KEPADA ALLAH



Dalam sebuah hadis qudsi,ada riwayat mengenai balasan yana diberikan Allah kepada orang yang takut kepada-Nya. Rasulullah SAW bersabda, “terdapat seorang lelaki yang tidak pernah berbuat kebajikan sama sekali. Lelaki itu meninggalkan wasiat kepada keluarganya, ‘jika aku mati, maka bakarlah aku hingga hancur menjadi abu. Kemudian taburlah sebahagian abu itu di daratan dan sebahagian di lautan. Demi Allah! Jika Allah menghisabku, pasti Dia akan mengazabku dengan azab yang tidak pernah ditimpakan kepada seseorang pun di alam ini!’”

Tatkala lelaki itu meninggal dunia, keluarganya melaksanakan apa yang diwasiatkan kepada mereka.Lalu, Allah memerintahkandaratan supaya mengumpulkan abu yang disebarkan di daratan dan memerintah lautan supaya mengumpulkan abu yang disebarkan di lautan.

Kemudian Allah SWT bertanya kepada lelaki itu (setelah dihidupkan kembali), “ mengapakah engkau melakukan semua ini?”

Lelaki itu pun menjawab,” Kerana aku takut kepadaMu wahai Tuhanku, dan Engkau lebih tahu itu semua.”
Maka Allah SWT pun mengampunkan dia.


HIKMAH DISEBALIK CERITA

Sekecil mana pun keimanan dalam dada seseorang (iaitu keyakinan adanya Allah, hisab dan keadilan), dapat mendatangkan keampunan dan rahmat dari Allah. Bagaimana jika rasa takut kepada Allah itu hadir pada setiap saat dengan disertai amal soleh? Tentu pahala yang lebih besar disediakan Allah SWT.

Firman Allah yang bermaksud:
“ Dan adapun orang-orang yang takut kepada keagungan Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya.”
(Surah An-Naziat 79:40-41)

No comments:

Post a Comment